Bicara hati.

🪶 Bicara Hati 🪶
Assalaamualaikum….
Seumpama penyakit lahir yang ada virus atau bakteria yang menjadi penyebabnya, maka begitu jugalah penyakit hati. Ada virusnya tersendiri. Sekali lagi ditegaskan bahawa virus penyakit hati ialah dosa. Virus dosa akan menyerang dan menyakitkan hati tidak secara mendadak. Ia akan merosakkan hati secara perlahan lahan dan berperingkat peringkat. Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia satu kebiasaan yang terbentuk perlahan lahan, tahap demi tahap. Ada empat tahap virus dosa merosakkan hati manusia. Empat tahap virus dosa adalah seperti berikut :-

  1. Tahap satu: Rasa bersalah dengan dosa
    Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Fitrah semula jadi manusia adalah baik ( sewaktu dialam roh dan mula mula dilahirkan ke muka bumi ). Jadi apabila fitrah ini dikotori, manusia seolah olah menentang hati kecilnya sendiri.
  2. Tahap Dua: Rasa biasa dengan dosa – Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa bersalah itu akan hilang, sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak akan datang lagi.
  3. Tahap ke Tiga: Rasa seronok dengan dosa – Dosa itu racun yang disalut kemanisan dan keindahan. Dosa yang dilazimkan tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, penyakit hati akan meningkat setahap lagi, yakni pada tahap ketiga. Seronok dan rasa indah dengan dosa. Pada tahap ini, diri manusia itu sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan dosa. Rasa ketagih dan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, menghantui hati. Racun dosa bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa bersalah.
  4. Tahap ke Empat: Jadi pembela kepada dosa– Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan pula ialah musuh yang tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu dengan kenderaan sifat sifat mazmumah, hati yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk maju setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan tenat. Keseronokan dosa menyebabkan pelakunya menjadi pembela dan pejuangnya.
    Oleh itu, awas..hati yang sakit lama kelamaan akan menjadi buta. Hati yang semacam ini sangat keras kerana mazmumah sudah semakin membarah menjadi syirik, kafir dan munafik.
    ⏳ Waallaahu’aklam ⏳